Pages

Wednesday, March 16, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa 2011


          Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Kedah adalah hikayat yang menceritakan tentang susur galur Merong Mahawangsa dan pengasas kerajaan Kedah, sebuah negeri di Malaysia. Walaupun terdapat beberapa fakta sejarah, ia turut mengandungi dakwaan yang mengagumkan. Era ini bermula dengan pembukaan negeri Kedah oleh Merong Mahawangsa, yang didakwa merupakan keturunan Iskandar Agung (The Great Alexander) dari Macedonia sehingga ketibaan Islam pada abad ke-12 masihi. Merong Mahawangsa (raja pertama Langkasuka) merupakan penganut Hindu dan terdapat sembilan pemerintah beragama Hindu pada masa itu. Phra Ong Mahawangsa (keturunan Merong Mahawangsa ke-6) memeluk Islam pada 1136 masihi dan mengambil gelaran Sultan Mudzafar Shah.




Pahlawan Langkasuka (Embi)
Kiri : Lanun Garuda       Kanan : Merong Mahawangsa


         Bahagian awal cerita ini mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan tetapi juga menjadi pembesar kepercayaan Maharaja Rom. Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negara China telah diserang oleh Lanun Garuda. Setelah memenangi pertarungan dengan Garuda, dia membuka Negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Merong pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Merong Mahapudisat menjadi raja. Kemudian, Langkasuka ditukar namanya kepada Kedah Zamin Turan.

         Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam. Manakala putera keduanya, Raja Ganjil Sarjuna ditabal sebagai Raja Perak. Anakandanya yang ketiga, seorang puteri sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja Seri Mahawangsa inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera. Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya, putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi Raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepada Sultan Mudzafar Shah.

No comments:

Post a Comment